Saturday, October 23, 2010

sejarah tulisan braille Sejarah Tulisan Braille Louis Braille dilahirkan pada 4 Januari 1809 di bandar Coupvray berhampiran Paris. Beliau merupakan pengasas tulisan braille, iaitu titik timbul bagi menggantikan huruf dan nombor. Louis Braille merupakan anak keempat kepada seorang tukang kulit bernama Simon René Braille dan mempunyai penglihatan normal ketika kecil. Ibunya bernama Monique. Ketika berusia 3 tahun Louis Braille telah bermain-main di kedai ayahnya apabila dia tercucuk matanya dengan satu peralatan menebuk lubang pada kulit 'awl' (peralatan dengan hujung tajam dengan pemegang kayu bulat) kepunyaan bapanya. Walaupun mendapat khidmat perubatan terbaik pada masa itu, matanya yang sebelah lagi terkena jangkitan kuman mengakibatkan Louis Braille kehilangan penglihatan di kedua-dua belah matanya. Walaupun buta, Louis Braille mendapat galakan ibubapanya, paderi tempatan dan guru sekolah untuk menghadiri kelas di mana dia mendahului rakan-rakannya yang celik. Bagaimanapun, disebabkan kecacatan penglihatan, dia tidak dapat membaca atau menulis. Pada tahun 1819, ketika berusia 10 tahun, Louis Braille telah mendapat biasiswa untuk belajar di Paris di Institut Kanak-Kanak Buta. Pengasas institut tersebut, Valentin Haüy, telah mendapat idea untuk membekalkan buku dengan huruf timbul untuk dibaca oleh orang buta. Buku-buku tersebut agak sukar dibaca, tebal dan mahal untuk dibuat, dengan setiap hurufnya sebesar 1 inci tinggi. Keadaan di sekolah tersebut amat tegas. Bangunan sekolahnya lembap dan melaksanakan sistem displin yang tegas sebagaimana sekolah-sekolah lain pada masa itu. Pelajar yang bersalah akan dirotan, dikurung, dan diberi roti keras dan air. Kehidupan semua orang adalah susah dan kebanyakan pelajar yang dapat melihat akan bekerja ketika berusia 12 tahun di kilang atau dalam lombong arang batu. Di sekolah di Paris, pelajar buta akan diajar kemahiran praktikal seperti menganyam kerusi dan membuat selipar agar mereka dapat mencari nafkah selepas menamatkan persekolahan. Sekali seminggu, mereka akan dibawa bersiar di taman dengan diikat di pinggang dengan tali. Mereka diajar membaca tetapi tidak untuk menulis. Huruf di buku dibuat dengan menggunakan wayar tembaga yang ditekan pada kertas. Disebabkan setiap huruf perlu dibentuk menggunakan wayar, orang buta tidak dapat melakukannya dengan sendiri. Di sekolah itu hanya terdapat empat belas buku seperti itu dan Loius Braille membaca kesemuannya. Louis Braille merupakan seorang yang berbakat. Dia mempelajari cara bermain cello dan organ ketika masih muda dan bermain organ di gereja seluruh bandar Paris. Muzik memberikannya pendapatan yang tetap dan Loius Braille menggemarinya. Pada tahun 1821, seorang pegawai tentera Charles Barbier de la Serre telah membuktikan bahawa perutusan yang ditulis dengan titik dan tanda sengkang dapat ditekan di atas kertas tebal untuk kegunaan perhubungan ketenteraan pada waktu malam ketika dalam parit pertahanan. Ini untuk mengelak daripada dikesan oleh musuh, tetapi ditolak oleh pihak tentera disebabkan kesukaran untuk melatih tentera. Sistem penulisan malam ataupun sonography menggunakan dua belas titik dan sengkang yang timbul mewakili bunyi berlainan. Tanda sengkang memakan banyak ruang dan setiap muka surat hanya dapat diisi dengan satu atau dua ayat. Charles Barbier menunjukkan cara penggunaan tulisan malam di sekolah Louis Braille yang menerimanya sebagai percubaan sahaja. Louis Braille menyedari kebaikan sistem titik timbul dan berusaha untuk memudahkannya. Ketika bercuti Louis Braille menghabiskan masanya memperbaiki cara penulisan timbul ini. Louis Braille menyedari kelematan sistem Sonography seperti penggunaan asas dua belas titik dan penulisan berasaskan bunyi. Ketika berada dibengkel ayahnya, Louis Braille menyentuh alat penebuk ayahnya dan dia mendapat idea untuk menggunakan alat penebuk yang tumpul untuk membentuk tanda titik timbul di atas kertas. Selepas beberapa bulan berusaha, dia mendapati sistem enam titik timbul sebagai yang terbaik. Kedudukan titik yang berbeza mewakili huruf berbeza. Louis Braille terus memajukan penulisan braille selama beberapa tahun, memajukan kod mathematik dan muzik. Pada tahun 1827 buku braille pertama dikeluarkan. Bagaimanapun sistem baru ini tidak diterima serta merta. Ini disebabkan terdapat halangan oleh mereka yang tidak memahami keperluan orang buta dan tidak mahu menerima atau menggalakkan penggunaan bentuk tulisan yang tidak dapat dibaca oleh orang biasa. Malah salah seorang pengetua di sekolah Louis Braille melarang penggunaan tulisan braille dan membakar buku braille yang ada. Bagaimanapun tulisan braille terus dipelajari dan digunakan oleh pelajar-pelajar dengan secara bersembunyi. Louis Braille sentiasa gigih menyebarkan tulisan braille dan akhirnya barulah tulisan braille diterima. Pada tahun 1834 Louis Braille menyempurnakan sistemnya dan menerbitkan buku Cara Menulis Perkataan, Muzik, Dan Lagu Dengan Menggunakan Titik Untuk Kegunaan Orang Buta Dan Disusun Oleh Mereka "Method of Writing Words, Music and Plain Song by Means of Dots, for Use by the Blind and Arranged by Them" . Dengan menggunakan tulisan braille, sekarang orang buta bukan saja boleh membaca, malah dapat menulis dengan menggunakan peralatan tajam menyerupai penebuk 'awl' yang membutakan mata Louis Braille dahulu. Mereka kini dapat berdikari. Louis Braille menjadi guru di sekolah tempat dia belajar dahulu. Louis Braille dikagumi dan dihormati oleh pelajar- pelajarnya kerana kegigihannya, tetapi dia tidak dapat melihat sistem penulisan braillenya diterima ramai. Louis Braille sering diserang penyakit dan pada tahun 6 Januari 1852 ketika berumur 43 dia mati akibat penyakit Penyakit Batuk Kering. Pada permulaannya sistem tulisannya hampir terkubur tetapi beberapa orang penting menyedari kepentingan ciptaan Louis Braille dan pada tahun 1868, Dr. Thomas Armitage (1824-1890) dan tiga rakannya mengasaskan 'British and Foreign Society for Improving the Embossed Literature of the Blind'. Kumpulan sahabat yang kecil ini bertambah dan menjadi Institusi Negara DiRaja Untuk Orang Buta 'Royal National Institute for the Blind', pencetak buku braille terbesar di Eropah dan British. Pada tahun 1990, tulisan braille digunakan di seluruh dunia dan diterima pakai oleh hampir semua bahasa daripada Albani hingga ke Zulu. Di Perancis pencapaian Louis Braille diakui ditahap kebangsaan dan pada tahun 1952, jasadnya dipindahkan ke Paris di mana dia dikebumikan di Pantheon, tempat pengkebumian wira negara Perancis. Melalui usaha Louis Braille, beribu-ribu orang buta dapat membaca dan menulis. Abjad Braille Braille terdiri daripada sel yang mempunyai 6 titik timbul yang dinomborkan seperti berikut: Huruf Braille Bahasa Melayu adalah hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris. Perkataan, simbol (seperti tanda seru dan tanda soal), beberapa perkataan dan suku kata boleh didapati secara terus. Contohnya perkataan orang dipendekkan kepada org. Ini membolehkan buku buku Braille yang lebih nipis dicetak. Simbol Braille juga telah diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik. Kini Braille telah diubahsuai dengan menambah dua lagi titik menjadikan Braille menjadi kod 8 titik. Ini memudahkan pembaca Braille mengetahui huruf tersebut adalah huruf besar atau kecil. Selain itu, penukaran ini membolehkan huruf huruf ASCII dipertunjukkan dan kombinasi 8 titik ini diekodkan dalam standard Unicode. Braille boleh dihasilkan menggunakan batuan loh ( slate) dan stilus ( stylus ) di mana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan, atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler. Braille juga boleh dihasilkan menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer. Abjad Braille Nombor Braille Contoh tulisan Braille Al-Quran Cetakan Braille Mesin Braille 0 comments: Post a Comment

Friday, October 22, 2010

standard guru malaysia


Standard Guru Malaysia (SGM)
Standard Guru Malaysia (SGM) menggariskan kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru, dan keperluan yang patut disediakan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu guru mencapai tahap kompetensi yang ditetapkan. Dokumen ini disediakan sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan dalam usaha untuk melahirkan dan melestarikan guru berkualiti. Dokumen ini akan disemak semula secara berkala bagi tujuan penambahbaikan berterusan.

Latar Belakang
Malaysia memberi penekanan tinggi terhadap pembangunan modal insan kelas pertama di mana bina upaya adalah pendekatan utama ke arah mencapai status negara maju pada tahun 2020. Modal insan adalah harta yang boleh disuntik nilai tambahnya, diinjakkan nilai inteleknya serta diperbanyakkan modal budayanya.

Pembangunan modal insan berkualiti bergantung kepada pendidikan berkualiti; yang dapat menghasilkan individu yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketerampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mengisi keperluan negara maju. Pendidikan juga perlu membentuk modal insan yang mampu berfikiran kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta peluang baru, mempunyai daya tahan serta kebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran global yang sering berubah.

Dalam abad ke-21 ini, negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan dan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Sehubungan dengan itu Malaysia memerlukan modal insan yang juga celik TMK, progresif dan mampu bersaing di pasaran kerja global.

Pembangunan sistem pendidikan bertaraf dunia mengikut acuan Malaysia adalah agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Justeru itu, guru perlu memahami, menunjukkan kesungguhan, dan mempunyai iltizam yang tinggi dalam melaksanakan daya usaha dan pendekatan baru ke arah usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan seperti petikan yang berikut:

”... as the most significant and costly resource in schools, teachers are central to school improvement efforts. Improving the efficiency and equity of schooling depends, in large measure, on ensuring that competent people want to work as teachers, that their teaching is of high quality, and that all students have access to high quality teaching.”

(Organization for Economic Co-operation and Development; petikan daripada Pelan Induk Pembangunan Pendidikan KPM 2007; hal. 106 )

Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha untuk melahirkan guru yang berkualiti dan memastikan mereka yang berkualiti kekal dalam sistem pendidikan negara dan kekal berkualiti di sepanjang tempoh perkhidmatan. Antara langkah yang telah diusahakan termasuklah memantapkan latihan perguruan, menambah baik sistem pemilihan calon guru, melonjakkan kecemerlangan institusi latihan perguruan, dan menambah baik laluan kerjaya serta kebajikan guru.

Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan peneraju utama latihan perguruan di Malaysia. BPG bersama-sama Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) bertanggungjawab merancang dan melaksanakan latihan perguruan untuk memenuhi keperluan tenaga pengajar di institusi pendidikan seluruh negara. Bagi menjamin guru yang dihasilkan berkualiti tinggi, tiga aspek utama ditekankan iaitu amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.

Bahagian Pendidian Guru telah mengambil langkah proaktif dalam membangunkan standard guru sebagai panduan dan rujukan kepada guru, pendidik guru, agensi dan institusi latihan perguruan di Malaysia.

Rasional
Standard Guru Malaysia ini digubal berdasarkan rasional yang berikut:
  • Guru perlu mempunyai tahap amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran yang tinggi bagi membolehkan mereka berfungsi sebagai guru profesional dengan berkesan,

  • Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan yang jelas dan lengkap seperti dasar, kurikulum, infrastruktur, tenaga pengajar, sumber pengajaran dan pembelajaran, serta jaminan kualiti untuk membolehkan proses latihan dijalankan dengan lancar, berkesan dan bermutu tinggi,

  • KPM sedang berusaha untuk melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan guru yang dapat dijadikan showcase. Justeru itu, adalah wajar standard bagi institusi latihan perguruan diwujudkan, dan

  • Standard Guru Malaysia menggariskan kriteria dan standard am guru selaras dengan Malaysian Qualifications Framework (MQF) yang menggariskan kriteria dan standard am pendidikan tinggi.
 
Tujuan
Standard Guru Malaysia digubal bagi tujuan yang berikut:
  • mengenal pasti tahap kompetensi profesional guru dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman, serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran,

  • mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh agensi dan institusi latihan perguruan bagi menjamin tahap kompetensi guru yang ditetapkan tercapai.

Standard Guru Malaysia akan dapat mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang patut ditambahbaik sejajar dengan perkembangan dan cabaran semasa dunia pendidikan.
Penggubalan
Penggubalan SGM adalah berasaskan kepada prinsip dan proses yang berikut:
  • Pernyataan Standard dan Keperluan jelas, tepat, relevan, praktikal, adil, dan realistik,

  • Standard dan Keperluan yang dicadangkan adalah berasaskan kajian serta penandaarasan, dan

  • Proses penggubalan dilaksanakan secara kolaboratif, telus, terbuka dan persetujuan bersama dengan pihak-pihak berkepentingan.

Penggunaan
Standard Guru Malaysia adalah dokumen rujukan yang patut diguna pakai oleh pihak yang berikut:
Guru
  • Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.

  • Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.

Pendidik Guru di Institusi Latihan Perguruan
  • Membuat refleksi kendiri terhadap tahap pencapaian standard.

  • Mengenal pasti keperluan pembangunan profesionalisme diri.

  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih (guru praperkhidmatan) atau peserta kursus (guru dalam perkhidmatan).

  • Mengenal pasti strategi bagi membantu guru pelatih atau peserta kursus meningkatkan tahap pencapaian standard.

Pengurus dan Pentadbir Institusi Latihan Perguruan
  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus.

  • Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan latihan oleh institusi.

  • Mengenal pasti strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard dan keperluan.

Guru Besar dan Pengetua Sekolah
  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru.

  • Menyediakan dan melaksanakan strategi bagi meningkatkan tahap pencapaian standard oleh guru.

Agensi Latihan Perguruan
  • Mengenal pasti tahap pencapaian standard oleh guru pelatih dan peserta kursus di institusi latihan perguruan.

  • Mengenal pasti tahap penyediaan dan pelaksanaan keperluan oleh agensi dan institusi latihan perguruan.

  • Mengenal pasti dasar dan strategi pembangunan pendidikan guru yang boleh ditambahbaik.
Perincian Standard
Standard 1: Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan
Amalan Nilai Profesionalisme Keguruan digubal berlandaskan budaya Institut Pendidikan Guru (IPG), Tatasusila Profesion Keguruan, nilai murni dalam kurikulum sekolah, nilai utama dalam Perkhidmatan Awam, prinsip utama Etika Kerja KPM, dan Tonggak Dua Belas. Standard ini mempunyai tiga domain utama iaitu:

S1.1 Domain Diri

Domain ini merujuk kepada pegangan nilai diri guru yang sedia ada dan patut dikembangkan supaya guru boleh memberi sumbangan yang lebih berkesan kepada profesion keguruan bagi mencapai matlamat sistem pendidikan negara.

Nilai-nilai yang difokuskan dalam domain ini ialah kepercayaan kepada Tuhan, amanah, ikhlas, berilmu, kasih sayang, sabar, budi bahasa, adil, bertimbang rasa, daya tahan, daya saing dan, tahan lasak, cergas, aktif dan sihat, kemahiran interpersonal dan intrapersonal, semangat sukarela, dan efisien.


S1.2 Domain Profesion

Domain ini merujuk kepada pegangan nilai yang patut diamalkan secara telus oleh guru dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang guru yang profesional. Nilai-nilai yang ditekankan dalam domain ini adalah kecintaan terhadap profesion, berketerampilan, integriti, teladan, mengamalkan kerja sepasukan, proaktif, kreatif dan inovatif.


S1.3 Domain Sosial

Guru berperanan sebagai agen sosialisasi dan penjana modal insan dalam masyarakat. Nilai-nilai utama yang patut diamalkan oleh guru adalah keharmonian, kemahiran sosial, semangat bermasyarakat, patriotisme dan kecintaan terhadap alam sekitar.
 
Standard 2: Pengetahuan dan Kefahaman
Guru yang memiliki dan menguasai ilmu yang mantap dapat meningkatkan profesionalisme keguruan, melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan serta menjadi lebih kreatif dan inovatif.

Bidang pengetahuan yang patut dikuasai oleh guru adalah seperti yang berikut:

S2.1 Falsafah, matlamat, dan objektif pendidikan yang menjadi teras dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran.

S2.2 Falsafah, matlamat, objektif kurikulum dan kokurikulum, hasil pembelajaran, dan keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran yang diajarkan.

S2.3 Kandungan mata pelajaran yang diajarkan.

S2.4 Kandungan Ilmu Pendidikan

S2.5 Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK), media dan sumber pendidikan dalam pelaksanaan kurikulum dan kokurikulum.

S2.6 Strategi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

S2.7 Kaedah pentaksiran dan penilaian, dan penyelidikan tindakan untuk menambahbaik amalan pengajaran dan pembelajaran.

S2.8 Potensi murid dan cara mengembangkannya secara menyeluruh dan bersepadu.

Standard 3:  Kemahiran Pengajaran dan Pembelajaran
Standard ini memfokuskan kebolehan guru untuk membuat perancangan, pelaksanaan dan penilaian pengajaran dan pembelajaran akademik dan kokurikulum.

Kemahiran yang patut ada pada semua guru adalah seperti yang berikut:

S3.1 Kemahiran menyediakan perancangan pengajaran dan pembelajaran berdasarkan Sukatan Pelajaran dan takwim dengan mengambil kira perbezaan kebolehan, pengetahuan sedia ada, serta jangkaan pencapaian murid.

S3.2 Kemahiran melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan menggunakan pelbagai pendekatan, kaedah dan teknik serta mengintegrasikan kemahiran berfikir, kemahiran belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran pemudah cara dan kemahiran mentaksir dan menilai.

S3.3 Kemahiran memantau, mentaksir dan menilai keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bertujuan memperbaik pengajaran guru dan meningkatkan pencapaian murid.

S3.4 Kemahiran mengurus bilik darjah; melibatkan pengurusan hubungan kemanusiaan, masa, ruang, dan sumber untuk mencapai pembelajaran yang bermakna dan berkesan.
Perincian Keperluan
Agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan keperluan latihan dengan mengambil kira dasar kerajaan, peruntukan kewangan, pekeliling am dan arahan pentadbiran, tuntutan serta perkembangan semasa. Lima keperluan penting latihan perguruan telah dikenalpasti bagi memastikan guru mencapai tahap kompetensi yang diharapkan iaitu:
Keperluan 1: Kelayakan Masuk dan Prosedur Kemasukan Program Latihan Perguruan
Untuk memastikan permohonan yang layak sahaja ditawarkan mengikuti program latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mematuhi syarat dan prosedur berikut:

K1.1 Mengiklankan permohonan
K1.2 Menapis semua permohonan dan memanggil calon yang layak untuk menduduki ujian kelayakan
K1.3 Memanggil calon guru yang melepasi ujian kelayakan pada tahap yang ditetapkan untuk menghadiri temu duga
K1.4 Melaksanakan sesi temu duga calon guru
K1.5 Membuat tawaran kepada calon guru yang berjaya
K1.6 Mendaftar calon guru berpandukan buku panduan pendaftaran
K1.7 Menandatangani perjanjian latihan perguruan

Keperluan 2: Latihan, Pentaksiran dan Penilaian
Bagi memenuhi keperluan latihan, pentaksiran dan penilaian latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan perkara berikut:

K2.1 Kurikulum latihan
K2.2 Sumber manusia yang berkelayakan, kompeten, dan mencukupi
K2.3 Program terancang bagi guru pelatih memperoleh pengetahuan dan pengalaman di sekolah
K2.4 Sumber pengajaran dan pembelajaran
K2.5 Pentaksiran dan penilaian berdasarkan peraturan peperiksaan dan penilaian yang sedang berkuatkuasa

Keperluan 3: Kolaborasi

Bagi meningkatkan lagi kualiti latihan perguruan, agensi dan institusi latihan perguruan patut mewujudkan permuafakatan dengan pelbagai pihak seperti yang berikut:

K3.1 Sekolah
K3.2 Institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara
K3.3 Badan bukan kerajaan seperti persatuan, unit beruniform, serta sukan dan permainan
Keperluan 4: Infrastruktur dan Infostrktur

Bagi menyokong pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, bermakna dan menyeronokkan, agensi dan institusi latihan perguruan patut menyediakan prasarana dan sumber yang lengkap dan terkini seperti yang berikut:

K4.1 Menyediakan kemudahan fizikal yang sesuai dan mencukupi bagi memenuhi keperluan kurikulum dan kokurikulum, pengurusan dan pentadbiran, serta kebajikan pelajar dan staf berdasarkan spesifikasi standard dan kos yang sedang berkuatkuasa.

K4.2 Menyediakan rangkaian infostruktur yang bersepadu untuk menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pengurusan dan pentadbiran.

Keperluan 5: Jaminan Kualiti

Mekanisme jaminan kualiti merupakan aspek penting bagi memastikan latihan perguruan yang dilaksanakan kekal bermutu tinggi. Pemantauan, penilaian, dan pelaporan perlu dibuat terhadap perkara-perkara berikut bagi menjamin kualiti latihan perguruan:

K5.1 Pemastian jaminan kualiti terhadap Standard
K5.2 Pemastian jaminan kualiti terhadap Keperluan
K5.3 Penandaarasan latihan perguruan
K5.4 Pemastian Kod Amalan Jaminan Kualiti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA)
Penutup
Standard Guru Malaysia menetapkan tahap pencapaian kompetensi profesional yang patut dicapai oleh guru untuk menjamin dan mengekalkan pendidikan yang berkualiti kepada warganegara Malaysia kini dan akan datang. Buku Standard Guru Malaysia, bersama-sama dengan buku Panduan Standard Guru Malaysia dan Manual Instrumen Standard Guru Malaysia akan dapat memastikan guru yang dihasilkan mempunyai kompetensi yang tinggi dalam aspek amalan nilai profesionalisme keguruan, pengetahuan dan kefahaman serta kemahiran pengajaran dan pembelajaran.