Saturday, March 31, 2012

cabaran hidupku di tempat sendiri

assalamualaikum dan salam sejahtera. sudah hampir dua bulan lamanya aku tidak menulis di laman blog ini. hari ini aku berasa amat sedih dengan beberapa permasalahan yang melanda. walaupun aku ditempatkan sebagai guru di negeri kelahiranku sendiri dan tinggal bersama keluarga, namun aku agak sukar untuk bergerak ke mana-mana bagi menyelesaikan urusan hidupku seperti membayar bil, membeli keperluan, berjumpa doktor jika sakit dan pergi ke mana-mana tempat yang aku ingin pergi. aku terpaksa bergantung harap kepada rakan-rakan atau meminta bantuan daripada driver teksi untuk membawaku. kadang-kala, rakan-rakanku tidak mempunyai masa lapang untuk membantuku kerana mereka sibuk dengan urusan masing-masing. walau-pun mempunyai ramai kaum kerabat di sini namun apabila aku perlukan pertolongan, masing-masing agak sukar untuk menghulurkan pertolongan. ini mungkin disebabkan mereka tidak mengalami permasalahan yang aku alami. mereka tidak pernah merasa bagaimana menjadi buta atau cacat penglihatan. di sini bukan macam di Kuala Lumpur, segala kemudahan untuk kegunaan Oku memang terjamin dan banyak disediakan. kenderaan awam seperti LRT, teksi, bas, monorel dan komuter juga banyak dan mesra pengguna dan mesra oku. Begitulah jika berlakunya kegagalan dalam memupuk rasa tanggungjawab terhadap diri seseorang individu itu. mereka tidak pernah cuba untuk memahami masalah dan diri orang lain. aku sekali-kali tidak suka juga jika terlalu bergantung kepada orang lain dalam menyelesaikan urusan hidupku. namun dalam sesetengah situasi, perkara ini terpaksa dilakukan kerana aku tidak mampu untuk membawa kenderaan sendiri. kalau aku boleh membawa kenderaan sendiri, aku tidak akan menyusahkan sesiapa pun. disebabkan masalah ini, banyak urusan hidupku agak tergendala. jika rakan-rakan aku tidak berkelapangan untuk membantuku, sesuatu urusan hidupku terpaksa ditangguhkan. aku bukan tidak redha dengan dugaan ini, namun sebagai manusia yang mempunyai hati dan perasaan, kadang-kadang aku agak kecewa apabila menghadapi masalah yang sebegini. sampai bila perlu bergantung kepada kawan-kawan, kalau begitu keadaannya, lebih baik aku bertugas di tempat lain seperti di kuala lumpur. aku rasakan, itu lebih baik. aku akan usahakan untuk memohon pertukaran bertugas di tempat lain. lagi jauh, lagi bagus.