Tuesday, November 23, 2010

prosedur pengurusan dan penempatan kanak-kanak masalah penglihatan

PENGURUSAN / PENEMPATAN KANAK-KANAK MASALAH PENGLIHATAN

1.0 PENGENALAN
Setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga semestinya inginkan kebahagiaan dalam berkeluarga. Mendapat anak yang sempurna dan sihat adalah salah satu idaman semua ibu bapa atau keluarga. Namun terdapat segelintir ibubapa atau keluarga yang diuji dengan mendapat anak atau ahli keluarga yang dilahirkan dalam keadaan mengalami masalah penglihatan. Walau apapun cabaran dan dugaan yang melanda, kanak-kanak yang dilahirkan dalam keadaan sedemikian itu perlu meneruskan kehidupannya seperti mana insan normal yang lain. Justeru, langkah-langkah tertentu perlulah diambil bagi memastikan kanak-kanak yang mengalami kecacatan ini supaya dapat membesar dan melalui proses dan tahap perkembangan yang sama seperti kanak-kanak lain. Ini termasuklah perkembangan dari segi perkembangan motor halus, perkembangan motor kasar, kognitif, social, emosi dan jasmani.
2.0 KONSEP DAN DEFINISI MASALAH PENGLIHATAN
Kurang upaya atau masalah penglihatan bermaksud tidak dapat melihat atau mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata walaupun menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau kanta sentuh. Seseorang itu dianggap mengalami kecacatan penglihatan apabila ujian menggunakan ‘Snellens Chart’ menunjukkan seseorang itu tidak dapat melihat huruf pada jarak 3 meter.
Masalah penglihatan boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu buta (blind) dan penglihatan terhad atau rabun (lowvision)
Menurut istilah perundangan, buta merujuk kepada penglihatan kurang daripada 3/60 pada mata yang lebih baik walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata atau medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari fixation.
Penglihatan terhad pula ialah mereka yang mempunyai penglihatan lebih teruk daripada 6/18 tetapi sama atau lebih baik daripada 3/60 dalam mata yang lebih baik daripada penglihatannya walaupun dengan menggunakan alat bantu penglihatan seperti cermin mata.( Pertubuhan kesihatan dunia: WHO)
Individu dengan penglihatan terhad dapat melakukan tugas seharian dengan deria penglihatan iaitu baki penglihatan yang masih ada.
Dari segi pendidikan, buta dapat didefinisikan sebagai mereka yang mengalami kecacatan penglihatan yang begitu serius sehingga terpaksa bergantung kepada penggunaan deria pendengaran dan penggunaan tulisan Braille untuk pembelajaran.
Rabun atau separa penglihatan pula ialah di mana kanak-kanak boleh membaca tulisan biasa dengan atau tanpa kanta pembesar.
Dari segi pembelajaran juga, masalah penglihatan dapat dedifinisikan sebagai sekumpulan kanak-kanak yang memerlukan pendidikan khas. kaedah penyampaian dan bahan bantu mengajar perlu diadaptasikan dengan kanak-kanak ini supaya dapat mengoptimakan pembelajaran dan pencapaian mereka.
3.0 Factor penyebab terjadinya masalah penglihatan
Terdapat beberapa factor atau penyebab yang dapat dikenalpasti terjadinya kecacatan penglihatan. antaranya termasuklah :
3.1 Bayi dan peringkat awal kanak-kanak.
3.1.1 Kecacatan 'congenital' seperti 'congenital cataract, congenital glaucoma'.
3.1.2 Masalah semasa kehamilan seperti jangkitan kuman akibat 'rubella, toxoplasmosis' dan penggunaan alkohol.
3.1.3 Penyebab perinatal - 'retinopathy of prematurity'
3.1.4 Jangkitan kuman pada mata - 'ophthalmia neonatorum'
3.2Peringkat lewat kanak-kanak.
3.2.1 'Refractive Error'
3.2.2 'Amblyopia/lazy eye'
3.2.3 Keadaan Juling
3.2.4 Parut pada lapisan kornea - jangkitan kuman, kecederaan, dan kekurangan vitamin A
3.2.5 Penyakit akibat keturunan - 'albino, retinitis pigmentosa'
3.3 Orang dewasa

3.3.1 'Refractive Error'
3.3.2 'Cataract'
3.3.3 'Diabetic retinopathy'
3.3.4 'Glaucoma'
3.3.5 'Age related Mascular Degeneration'
3.4 Sebab-sebab lain.
3.4.1 Jangkitan kuman pada mata
3.4.2 Kecederaan pada mata - tercucuk, terkena bahan kimia.
3.4.3 Barah mata - 'retinoblastoma'
Selain factor-faktor penyakit seperti mana yang dinyatakan di atas, masalah penglihatan juga boleh berpunca daripada factor baka. Factor baka merujuk kepada pewarisan baka atau gen daripada ibu atau bapa di mana sekiranya kedua-dua ibubapanya yang buta sejak lahir berkemungkinan akan melahirkan anak yang juga mengalami masalah penglihatan.

4.0 Prosedur pengurusan / penempatan kanak-kanak cacat Penglihatan
4.1PROSES PENDAFTARAN KANAK-KANAK CACAT PENGLIHATAN
Setelah dikenalpasti bahawa seseorang kanak-kanak itu mengalami kecacatan penglihatan, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak itu boleh mengambil beberapa tindakan tertentu.
4.1.1 Mendaftarkan kanak-kanak tersebut dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Borang pendaftaran boleh didapati dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, klinik kesihatan dan hospital-hospital. Kemudian borang tersebut perlu diisi dan disahkan oleh doctor-doktor yang bertauliah. Contoh borang pendaftaran (sila rujuk lampiran) Setelah mendapat pengesahan doctor, borang tersebut perlu diserahkan kepada pegawai kebajikan masyarakat untuk tujuan pendaftaran. Semasa mendaftarkan kanak-kanak di jabatan kebajikan masyarakat, ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak tersebut bersama-sama. Ini bagi memudahkan proses pendaftaran. Dokumen-dokumen yang perlu dibawa bersama adalah seperti berikut :
4.1.1.1Borang pemeriksaan doctor dan salinan fotostatnya.
4.1.1.2 Salinan (fotostat) sijil kelahiran
4.1.1.3 Gambar kanak-kanak itu yang berukuran kad pengenalan sebanyak tiga keeping.
4.2Setelah didaftarkan sebagai Orang Kurang Upaya penglihatan, kanak-kanak itu akan menerima kad pengenalan khas berwarna biru yang membolehkan mereka mendapatkan faedah-faedah disebabkan oleh kecacatan yang dialami dan bagi memudahkan mereka berurusan dengan pihak-pihak tertentu.
Antara faedah-faedah atau kemudahan yang diperolehi setelah berdaftar dengan jabatan kebajikan masyarakat termasuklah :
4.2.1rawatan perubatan
4.2.2 khidmat pemulihan, rawatan lanjutan dan latihan vokasional.
4.2.3Pendidikan akademik di sekolah khas dan institusi tertentu.
4.2.4 Bantuan kewangan, alat-alat tiruan dan alat-alat kemudahan.
4.2.5Pertimbangan elaun pekerja kurang upaya.
4.2.6Pertimbangan jagaan dan perlindungan didikan dan latihan di institusi JKM dan NGO tertentu. 4.2.7Peluang pekerjaan sama ada di sector awam atau sector swasta.
4.3 mendapatkan intervensi atau pemulihan awal. Intervensi awal
Kanak-kanak cacat penglihatan memerlukan pengesanan pada peringkat awal lagi bagi membolehkan mereka mengikuti suatu system persekolahan yang terancang bagi mengembangkan potensi diri mereka. Intervensi awal ialah proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajaran.
Intervensi awal merupakan satu program yang tersusun, berstruktur dan berperingkat. Perkhidmatan atau program intervensi awal yang disediakan adalah untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan, iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosio dan emosi dan adaptasi (Sander, Brazdziunas, Cooley & Depijem2001) melalui pelbagai terapi atau perkhidmatan seperti terapi cara kerja, terapi fisio, terapi pertuturan dan khidmat sokongan untuk keluarga (Addison 2003).
Program intervensi awal adalah disediakan kepada kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai kanak-kanak yang mengalami kelambatan atau ketidakupayaan dari segi fizikal yang berumur 0 hingga 6 tahun(U.S. Department Of Education 2004)
Program intervensi awal di Malaysia disediakan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas yang berumur dari 0 hingga 6 tahun. Di bawah kementerian pelajaran Malaysia, kanak-kanak yang berkeperluan khas merujuk kepada tiga kategori, salah satunya kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan.
Menurut Majnemer (1998), intervensi awal boleh mengurangkan kesan kelambatan perkembangan yang dialami, malah boleh mengelakkannya daripada menjadi semakin serius. Selain itu, intervensi awal juga boleh memaksimumkan potensi kanak-kanak berkeperluan khas dan mengurangkan bebanan masyarakat . Addison (2003) merumuskan beberapa pengaruh positif intervensi awal ke atas kanak-kanak berkeperluan khas. Antaranya termasuklah kemajuan kanak-kanak dalam pelbagai perkembangan pada tahap tertentu, mengelakkan atau mengurangkan masalah susulan, mengurangkan tekanan keluarga dan keperluan pendidikan khas bagi kanak-kanak berkeperluan khas.(Guralnick, 1997) berpendapat bahawa intervensi awal ialah satu system yang dibentuk untuk menyokong bentuk interaksi keluarga supaya perkembangan kanak-kanak tidak terganggu.
Wolfendale(1997) mengemukakan empat tujuan utama intervensi awal. Pertama, intervensi awal bertujuan untuk membekalkan sokongan kepada keluarga supaya berupaya menyokong perkembangan kanak-kanak. Kedua, intervensi awal adalah untuk meningkatkan perkembangan kanak-kanak dalam bidang utama seperti komunikasi dan mobility. Ketiga adalah untuk meningkatkan keyakinan kanak-kanak , dan keempat adalah untuk mengelakkan berlakunya masalah pada masa hadapan.
Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa intervensi awal memainkan peranan yang sangat penting dalam kalangan kanak-kanak berkeperluan khas termasuklah kanak-kanak masalah penglihatan. Intervensi awal ini melibatkan pelbagai pihak seperti ibu bapa, guru-guru, doctor, dan badan-badan NGO seperti MAB.
Justeru,Intervensi awal atau proses pendedahan awal adalah amat penting dan proses tersebut perlu diberi sebaik sahaja seseorang kanak-kanak itu dikenalpasti sebagai kanak-kanak cacat penglihatan.
Ibu bapa atau penjaga
Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak cacat penglihatan juga berperanan dalam memberikan intervensi awal. Antara peranan atau tindakan yang perlu diambil adalah seperti berikut :
• Letakkan objek yang berbunyi (jam, loceng angin, radio) di bahagian berlainan di dalam rumah untuk membantu kanak-kanak mengenalpasti susunan rumah.
• Galakkan kanak-kanak ini mencari dan merasa tekstur yang berlainan di sekeliling rumah seperti lantai, karpet, kayu, tingkap kaca, dinding berplaster,
meja marmar dan sebagainya.
• Carilah mainan dan buku yang mempunyai nombor, huruf atau rekaan yang timbul yang boleh disentuh dan diterokai oleh kanak-kanak ini.
• Sediakan aktiviti yang menggunakan deria lain. Kanak-kanak cacat penglihatan belajar melalui pendengaran dan sentuhan. Permainan yang melibatkan pasir
dan air, membuat kolaj, tanah liat dan membuat lukisan tangan adalah aktiviti pembelajaran yang baik.
• Baca dengan kuat cerita-cerita yang mempunyai jalan cerita yang mudah diteka. Anda juga boleh memilih cerita yang mempunyai penerangan yang menarik mengenai
sesuatu aksi atau objek.
• Beri penerangan, dan biarkan mereka mengalami situasi itu. Contohnya, selepas membaca “The Three Little Pigs,” mereka mungkin seronok dapat merasa perbezaan
antara jerami, ranting dan batu bata.
• Guntingkan simbol, bentuk, huruf dan nombor daripada kertas pasir atau kadbod. Pandu tangan kanak-kanak mengikut bentuk tersebut dan pada masa yang sama
terangkan mengenai bentuk itu.
• Tunjukkan kanak-kanak ini bagaimana membuat gosokan dengan mewarna di atas sesuatu tekstur yang menarik.
• Pastikan bahawa kawasan bermain mempunyai cukup cahaya supaya kanak-kanak yang mempunyai deria lihat yang terhad dapat melihat dengan lebih baik.
• Sediakan kawasan yang khas bagi aktiviti bermain. Bantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan susunan bilik itu. Jika anda bercadang untuk mengubah
sesuatu susunan, anda hendaklah membantu kanak-kanak ini mengenalpasti semula susunan bilik itu.
• Barang permainan dan bahan-bahan lain hendaklah berwarna-warni supaya kanak-kanak cacat penglihatan ini dapat melihat dengan lebih baik.
• Lekatkan label yang diperbuat daripada kadbod tebal untuk menunjukkan simbol barang mainan pada rak mainan untuk memudahkan mereka mengemas.
• Susun barang-barang di rumah anda untuk membantu mereka bergerak dengan selamat dan selesa. Pastikan pintu dan kabinet sentiasa ditutup.
• Ajar kanak-kanak yang tidak cacat untuk memperkenalkan diri mereka dan menerangkan mengenai aktiviti atau permainan mereka kepada kanak-kanak cacat penglihatan.
Ajar mereka untuk memanggil nama kanak-kanak cacat penglihatan ini untuk mendapatkan perhatian mereka dan menggunakan perkataan-perkataan tertentu untuk
menerangkan sesuatu objek seperti telefon, topi atau kereta, dan bukannya hanya berkata “itu”, “ini” atau “benda”.
• Perluaskan pembelajaran kanak-kanak ini dengan berbual dengan mereka semasa menjalankan aktiviti. Guna perkataan yang menggambarkan sesuatu objek seperti
panjang, pendek, di atas, di bawah, besar dan kecil. Jika boleh, biarkan mereka mengalami situasi yang boleh menggambarkan konsep ini. Contohnya, anda
boleh memberi dua biji bola kepada mereka dan berkata, “Bola di tangan awak besar. Cuba rasa bagaimana besarnya bola ini. Tetapi bola di tangan saya kecil.
Adakah awak mahu merasanya?”
• Galakkan kanak-kanak ini membina blok secara memanjang. Mereka boleh merasa bentuknya dan menyusunnya dari satu hujung ke hujung yang lain dalam bentuk
yang berlainan tanpa perlu risau blok itu akan terjatuh.
Prosedur penempatan ke sekolah rendah
bagi kanak-kanak yang telah mencapai umur 5 tahun dan ke atas, antara prosedur yang perlu diketahui oleh ibu bapa untuk menempatkan kanak-kanak ke sekolah adalah seperti berikut:
pertama, ibu bapa perlu mendapatkan medical report dan pengesahan daripada doctor yang akan mendiagnostik kanak-kanak itu bagi menentukan jenis kecacatan yang dialami, sama ada bermasalah kebutaan atau berpenglihatan terhad ataupun mengalami sebarangkecacatan lain.
Setelah mendapat pengesahan daripada doctor dan laporan perubatan, ibu bapa atau penjaga perlu membawa kanak-kanak itu untuk didaftarkan ke Unit Pendidikan Khas Jabatan Pelajaran Negeri bagi mendapatkan borang pendaftaran dan cadangan penempatan sekolah. Biasanya, Unit Pendidikan Khas ini akan menempatkan kanak-kanak tersebut di sekolah yang berdekatan dengan alamat rumah.
Ketiga, menunggu surat penempatan. Ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa menghubungi Unit Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Negeri bagi mengetahui di mana kanak-kanak itu akan ditempatkan.
Keempat, setelah menerima surat penempatan, ibu bapa atau penjaga bolehlah membuat pendaftaran di sekolah yang berkenaan. Bagi tujuan tersebut, Ibu bapa atau penjaga bolehlah berjumpa dengan penolong kanan program pendidikan khas atau penyelaras program pendidikan khas sekolah tersebut.
PENEMPETAN ke PROGRAM PENDIDIKAN KHAS
Program pendidikan prasekolah
Pendidikan pra sekolah adalah pendidikan asas yang penting dan ia telah mendapat perhatian di semua peringkat masyarakat kerana ia merupakan pendidikan awal dalam perkembangan individu seseorang kanak-kanak. Di Malaysia, program pendidikan prasekolah adalah satu program pendidikan untuk golongan kanak-kanak yang berusia antara 4 hingga 6 tahun sebelum mereka memasuki pendidikan secara formal di tahun satu sekolah rendah.
Bagi kanak-kanak cacat penglihatan, program pendidikan prasekolah turut disediakan di sekolah kebangsaan pendidikan khas masalah penglihatan. Ini bagi memastikan kanak-kanak cacat penglihatan mendapat pendidikan yang sewajarnya seperti yang dilalui oleh kanak-kanak normal. Antara sekolah pendidikan khas yang menyediakan program prasekolah ini adalah seperti SKPK Alma Pulau Pinang, SKPK Princess Elizabeth, Johor Bharu dan SKPK Jalan Batu, Kuala Lumpur.
Pada peringkat prasekolah ini, murid-murid akan diajar menguasai kemahiran asas 3M iaitu, membaca, menulis dan mengira. Selain itu, mereka juga akan diperkenalkan dengan cara-cara untuk menulis dan membaca dengan menggunakan Braille, bermain, menyanyi dan sebagainya.
Terdapat tiga jenis sekolah yang menyediakan pendidikan untuk kanak-kanak cacat penglihatan. Sekolah itu terdiri daripada pertama, sekolah pendidikan khas kedua, sekolah integrasi dan ketiga, program pendidikan inklusif.
Sekolah Pendidikan Khas
Semua sekolah rendah pendidikan khas mengikuti aliran akademik. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan di peringkat rendah termasuklah kemudahan asrama dan makan minum secara percuma.
SYARAT KEMASUKAN MURID
Antara syarat kemasukan ke sekolah rendah pendidikan khas adalah :
Berumur tidak kurang dari 5 tahun (bagi program prasekolah )
Berumur 6 hingga 14 tahun (program pendidikan rendah)
Disahkan oleh pengamal perubatan
Boleh mengurus diri tanpa bantuan orang lain.

Program Integrasi
Program pendidikan khas integrasi disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas masalah penglihatan, masalah pendengaran dan masalah pembelajaran. program ini diwujudkan di sekolah harian biasa rendah dan menengah dan sekolah menengah teknik / vokasional yang menggunakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran secara pengasingan dan separa inklusif.
Program pendidikan khas integrasi ini ditadbirkan sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Negeri manakala Jabatan Pendidikan Khas bertanggungjawab terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar dan pengisiannya. Bagi program masalah penglihatan, kurikulum yang digunapakai ialah kurikulum kebangsaan.
PENDIDIKAN INKLUSIF
Pendidikan inklusif merujuk kepada peluang pendidikan yang disediakan bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan seperti kecacatan pendengaran atau penglihatan yang belajar di dalam bilik darjah biasa bersama-sama dengan murid-murid yang biasa dengan mereka. Murid-murid yang berada dalam kelas pendidikan inklusif mengikut kurikulum biasa yang telah diubahsuai oleh ahli-ahli pendidik.
Di dalam kelas inklusif, murid-murid mendapat bimbingan daripada guru resos yang bekerjasama dengan guru kelas agar mereka dapat memahami konsep yang disampaikan oleh guru kelas dengan lebih efektif.
TEMPOH BELAJAR
Tempoh belajar bagi murid-murid berkeperluan khas rendah adalah enam (6) tahun. Tempoh ini boleh dilanjutkan hingga dua (2 ) tahun maksimum mengikut keperluan murid berkenaan.
SENARAI SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS DAN PROGRAM INTEGRASI (sila rujuk lampiran)
KESIMPULAN
Pengurusan dan penempatan kanak-kanak cacat penglihatan amat penting diuruskan dengan baik dan teratur. Ini bagi memastikan kanak-kanak cacat penglihatan itu dapat melalui proses kehidupan yang sama dengan kanak-kanak normal yang lain. Banyak pihak yang terlibat dan memainkan peranan penting untuk tujuan pengurusan dan penempatan kanak-kanak ini hingga memasuki alam persekolahan. Ibubapa atau penjaga merupakan orang yang paling penting bagi menguruskan kanak-kanak ini. Ibubapa perlulah mendapatkan rawatan dan pengesahan doctor dengan seberapa segera supaya langkah pemulihan atau intervensi awal dapat diberikan. Pihak-pihak lain yang terlibat dengan pengurusan kanak-kanak cacat penglihatan ini juga termasuk doctor, pegawai jabatan kebajikan masyarakat, guru-guru dan NGO yang ditubuhkan secara sukarela bagi membantu golongan cacat penglihatan ini pada masa akan dating. Oleh yang demikian, pengurusan kanak-kanak cacat penglihatan ini amat perlu dilakukan agar kanak-kanak ini dapat hidup berdikari dan seterusnya mampu membantu dalam memajukan Negara kita.

1 comment:

  1. salam sis..saya ingin memohon izin sis untuk mengambil sedikit maklumat untuk menyiapkan tugasan saya...syukran

    ReplyDelete