Wednesday, June 8, 2011

berita untuk OKU


Beri peluang OKU tingkat kualiti hidup



KUALA LUMPUR: Golongan yang terbabit dalam proses membuat keputusan di kalangan pendidik, pembimbing, keluarga dan masyarakat diseru untuk mendampingi orang kurang upaya (OKU) bagi membuka hati dan minda untuk menghayati keperluan mereka sekali gus memperjuangkan nasib golongan terbabit.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata golongan OKU perlu diberikan hak yang sama seperti individu lain terutamanya dalam aspek pendidikan bagi memberi peluang kepada mereka meningkatkan kualiti hidup ke tahap yang lebih baik.

“Tidak kira apa juga jenis dan tahap ketidakupayaan yang dialami seseorang OKU itu, mereka seharusnya tidak dikecualikan daripada terus mendapat pendedahan atau bimbingan dalam pengajaran,” katanya ketika merasmikan Persidangan kali keempat ‘Program Bakti-Mind Conference’ di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pentadbir Bangunan Bakti Siti Hasmah, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi Projek Bakti-Mind, Toh Puan Datuk Seri Dr Aishah Ong.

Rosmah berkata, OKU turut berpeluang mengurangkan kebergantungan hidup mereka terhadap keluarga, masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan melalui pemberian aspek pendidikan yang secukupnya yang mana dapat membina keyakinan diri golongan berkenaan untuk mengharungi masa hadapan kelak.

Menurutnya, tenaga pendidik perlu mempunyai pengetahuan asas dalam aspek pendidikan khas bagi membantu mempermudahkan tugas guru mengenal pasti kanak-kanak yang berkemungkinan menghadapi masalah dalam pembelajaran.

“Aspek pendidikan khas adalah antara perkara yang amat penting kerana tanpa pengetahuan secukupnya mengenai perkara berkenaan tugas sebagai pendidik dilihat seakan tidak sempurna dan bakal menimbulkan masalah di kemudian hari,” katanya.

Kata beliau, cara mendidik golongan OKU atau kanak-kanak yang lemah dalam pembelajaran perlu dilakukan dengan alternatif yang lebih kreatif seperti penggunaan alat muzik ketika proses pembelajaran bagi menarik minat dan perhatian mereka dalam aspek berkenaan.

Hubungi bahagian pengiklanan kami untuk tujuan pengiklanan dan tajaan di dalam Harian Metro Online .
© Hak cipta terpelihara 2007 The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments:

Post a Comment